AKTIVITI AKAN DATANG...

...TBA...

Jumaat, November 14, 2008

Perhimpunan Mingguan Jabatan Radiologi

Perhimpunan dimulakan dengan bacaan doa dari Dr. Hamzaini...

Kemudian perhimpunan diteruskan dengan ucapan daripada En. Zainuddin yang bertajuk, ‘5 punca utama kenapa orang tidak dapat memperkembangkan atau tidak menggunakan potensi diri’.

Pertama, menafikan potensi diri iaitu seseorang itu lebih senang menafikan potensi diri yang mereka miliki. Contohnya apabila diberi peluang dia akan mencadangkan orang lain disebabkan oleh rasa rendah diri dan tidak yakin terhadap keupayaan diri sendiri.

Kedua, terlalu fokus kepada kelemahan sendiri hingga lupa kepada perkara yang dia boleh lakukan. Sedikit kelemahan diri yang ada pada dirinya membuatkan dia tidak boleh melakukan apa-apa yang dapat memperkembangkan potensi dirinya.

Ketiga, sikap suka bertangguh yang akhirnya terlepas peluang untuk memperkembangkan potensi diri. Contohnya, sikap selalu berkata, “tengok dululah”, “kemudianlah”, dan “takkan lari gunung dikejar”.

Keempat,sikap takut kepada kegagalan. Baginya, cara yang paling selamat untuk menghindarkan kegagalan ialah dengan tidak melakukan apa-apa. Ramai orang yang sering melakukan perkara ini tanpa menyedari mereka sebenarnya tidak melakukan apa-apa dan itu adalah satu kegagalan.

Kelima, sikap tidak mahukan tanggungjawab. Golongan ini lebih senang membiarkan orang lain melakukannya dan lebih seronok meletakkan tanggungjawab pada orang lain. Akhirnya dia menjadi seorang manusia yang tidak bertanggungjawab.

En. Zainuddin membuat kesimpulan bahawa setiap orang dilahirkan unik bukan sahaja dari segi rupa paras tetapi juga dari segi potensi diri masing-masing. Keunikan seseorang itu lain dari yang lain, serta hebat dan istimewa.

Perhimpunan diteruskan lagi dengan beberapa pengumuman. Dr. Hamzaini menyampaikan tiga pengumuman iaitu yang pertama mengenai lampu bilik tutorial yang kecil dan besar tidak dipadamkan apabila tidak digunakan. Yang kedua, berkenaan etika pakaian ketika bekerja. Diharap semua kakitangan dapat berpakaian kemas walaupun ketika berkerja ‘on call’. Ketiga, berkenaan borang-borang pemeriksaan CT scan yang bertimbun di bilik CT scan hujung. Diharap semua MO yang bertugas memastikan samada borang-borang tersebut telah dijalankan pemeriksaan atau tidak dan telah dilaporkan keputusan pemerikasaan atau tidak.

En. Hishamudin memberi teguran kepada semua kakitangan mengenai 5S kerana perkembangannya sangat perlahan setelah masuk bulan ketiga dan tidak ada sebarang perubahan.

Prof. Zahiyah juga membuat teguran berkenaan pakaian ketika bekerja serta lampu yang tidak dipadamkan apabila digunakan. Beliau menyarankan agar dibuat nota seperti ‘sila padamkan lampu apabila tidak digunakan’. Beliau juga membuat pengumuman berkenaan masalah disiplin kakitangan. Beliau mengingatkan kakitangan kerajaan boleh dibuang kerja jika tidak ada sebarang perubahan selepas diberi teguran dan tindakan disiplin. Berkenaan dengan ISO, MSQH, dan 5S, kebanyakan orang yang sama yang terlibat. Beliau berharap kakitangan yang lain dapat bersama-sama menjalankannya dan tidak mengharapkan individu yang bertanggungjawab mengetuai sesuatu tugas itu.

Tiada ulasan: