AKTIVITI AKAN DATANG...

...TBA...

Rabu, November 19, 2008

Lawatan IT-PACS ke Hospital Sg. Buloh...

Lawatan ini adalah siri kedua diantara 3 lawatan yang akan dibuat oleh Unit IT-PACS, Jabatan Perkhidmatan Radiologi... Lawatan kali ini disertai oleh En. Zainal, En. Mohamad Norman, En. Ruzi, En. Metdahie, Pn. Che Asmira dan Cik Wan Noor Afzan. Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk mendapatkan pengalaman mengenai aliran kerja kakitangan radiologi hospital berkenaan dengan sistem RIS dan PACS.

Lawatan telah di mulakan dengan penerangan ringkas mengenai jabatan radiologi hospital yang baru 2 tahun beroperasi, sistem rangkaian komputer dan Health Information System (HIS) dari ketua jabatan, Pn Rachel St. Maria. Ketua jabatan kemudiannya menyerahkan tugas kepada Pegawai sains, En. Norawzin merangkap pegawai IT-PACS. Penjelasan selanjutnya dimulakan dari kaunter utama jabatan radiologi iaitu mengenai Radiology Information System (RIS) dari IBA Health Group (Malaysia). Sistem rangkaian setempat ini berasal dari India. Setiap capaian sistem ini dimulakan dengan tetingkap utama. Kemudian kakitangan hospital di jabatan tertentu akan memilih tetingkap jabatan mereka masing-masing. Jikalau pesakit yang hendak diperiksa belum pernah berdaftar dengan hospital berkenaan, kakitangan di situ boleh membuat nombor pendaftaran untuk pesakit berkaitan. Kakitangan jabatan radiologi juga boleh memberi nombor pendaftaran yang baru kepada pesakit yang pertama kali berkunjung ke hospital berkenaan. Tindakan capaian sistem mesti juga dibuat di bilik pemeriksaan untuk mengsahkan waktu mula dan tamat pemeriksaan. Sistem ini mesti diawasi dengan baik supaya capaian pengguna berdaftar berkaitan tidak dipakai oleh orang lain. Tulisan dalam sistem ini cukup kecil untuk dibaca dengan jarak yang sederhana jauh.

Pegawai sains membawa kami ke kawasan kerja di mana sistem x-ray berkomputer digunakan sepenuhnya. Semua pemeriksaan x-ray tidak melibatkan pengguna filem. Imej yang dihasilkan menjadi rakaman dalam sistem dan rangkaian komputer, PACS. Ruang kerja disesuaikan dengan rekabentuk jabatan dan hospital yang berfungsi menerima kes-kes penyakit berjangkit. Setiap bilik pemeriksaan mempunyai komputer RIS untuk juru x-ray memula dan menamatkan pemeriksaan yang dibuat sebagai tambahan kepada aliran kerja juru x-ray. Mesin x-ray Siemen digabungkan dengan peralatan rakaman imej kodak. Kemudahan merakam imej panjang seperti keseluruhan turus tulang belakang juga boleh didapati di sini. Imej berkenaan dirakam dengan mengguna satu pemegang kaset Siemens dengan 4 kaset kodak saiz khas tanpa memerlukan pencantuman semula imej. Mesin pembaca kaset, kodak single loader ditempatkan di setiap bilik pemeriksaan. Mesin ini adalah lebih tahan lama, tinggi penjimatan kos selenggara dan kurang terdedah dengan kekotoran kerana tidak melibatkan mekanikal yang besar seperti mesin multiloader. Penggunaan mesin single loader ini amat praktikal di sini kerana beban kerja di hospital berkenaan yang masih rendah.

Lawatan ke Unit pemeriksaan imbasan CT dan MRI tidak mengambil masa yang lama kerana modaliti digunakan adalah hampir sama dengan PPUKM. Kawasan pemeriksaan angiografi agak luas menunjukkan mesin Siemen yang masih mengguna rakaman pengamat imej tidak seperti pengesan digital yang terdapat di PPUKM. Sistem arkib kekal angiografi dan semua modaliti lain dikendalikan sepenuhnya oleh jabatan teknologi maklumat. Lawatan ke jabatan berkenaan tidak dapat diteruskan kerana surat permohonan melalui saluran tertentu diperlukan. Lawatan diteruskan ke unit x-ray jabatan kecemasan yang juga dibawah PACS. 1 bilik pemeriksaan x-ray biasa dan 1 bilik imbasan CT terdapat di kawasan utama. 1 bilik pemeriksaan x-ray biasa pula disediakan di kawasan merah.

Kumpulan lawatan menikmati makan tengahari sebelum meneruskan lawatan ke bahagian belakang kawasan kerja. Kawasan ini menempatkan pencetak filem kodak dan pengimbas filem yang juga digunakan untuk mengimbas borang permohonan x-ray. Imej borang yang diimbas tidaklah sempurna sepertimana borang asal. Hospital ini banyak menerima pesakit-pesakit dari pusat perubatan di sekitar Sg. Buloh. Terdapat juga pesakit dari Tanjung Karang. Pesakit-pesakit ini memerlukan pencetakan filem x-ray. Akhir sekali, penjelasan diberi tentang masalah-masalah yang pernah dan sedang dihadapi oleh IT-PACS di jabatan berkenaan.

Kumpulan lawatan ke Jabatan Pengimejan Diagnostik berasa berpuas hati dengan lawatan kali ini dan berasa amat teruja dengan persiapan dan sambutan yang telah dilakukan oleh pengurusan Jabatan Pengimejan Diagnostik Hospital Sg. Buloh. Penerangan yang jelas dan jujur tentang sistem-sistem yang digunakan amat membantu kumpulan lawatan menambah pengetahuan di dalam sistem RIS dan PACS yang digunakan. Pengalaman yang diperolehi semasa sesi lawatan ini amat berharga untuk semua ahli yang turut serta. Ianya akan membantu didalam meningkatkan kualiti dan perkhidmatan Jabatan Radiologi PPUKM amnya dan Pusat Perubatan UKM khasnya.

Tiada ulasan: