AKTIVITI AKAN DATANG...

...TBA...

Isnin, Julai 22, 2013

Audit dalaman ISO Jabatan Radiologi 2013

Audit dalaman ISO Jabatan Radiologi 2013 telah diadakan pada:

Tarikh: 22-23 Julai 2013
Masa: 9.00 am - 5.00 pm
Tempat: Jabatan Radiologi, PPUKM.

Audit dijalankan untuk mengenalpasti Jabatan Radiologi dalam keadaan yang terbaik untuk memberikan perkhidmatan kepada semua pelanggan.


Jumaat, Julai 19, 2013

Majlis Iftar Jabatan Radiologi 2013

Majlis Iftar Jabatan Radiologi 2013 anjuran Unit EIR telah diadakan pada:

Tarikh: 19 Julai 2013 (Jumaat)
Masa: 7.15-9.00 malam
Tempat: Bilik Sunflower. 


Majlis bermula dengan ketibaan semua kakitangan dan keluarga, diiringi dengan bacaan doa pembukaan majlis oleh En. Nizam. Majlis kemudian di susuli dengan ucapan kata-kata aluan Prof M Dr. Ahmad Sobri Muda dan ucapan kata-kata aluan Prof M Dr. Hamzaini Abdul Hamid. 

Tepat jam 7.31 malam, bacaan doa berbuka puasa telah dibaca oleh En. Nizam. Majlis berbuka puasa dimulakan. Selepas itu, semua hadirin bersolat magrib secara berjemaah di Bilik Konferens dan majlis berbuka puasa disambung semula. Majlis bersurai pada jam 9.00 malam.

Sanggar kerja Jabatan Radiologi

Sanggar kerja Jabatan Radiologi 2013 akan diadakan pada:

Tarikh: 18-20 Oktober 2013
Tempat: Avilion Admiran Cove, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Semua kakitangan Jabatan Radiologi yang berminat untuk menyertai  sanggar kerja ini boleh mendaftar didalam borang yang disediakan dipapan notis Jabatan Radiologi.


Rabu, Julai 17, 2013

Perhimpunan pagi 17 Julai 2013

Perhimpunan pada kali ini di kendalikan oleh En. Mohamad Norman. Seperti biasa perhimpunan pagi dimulakan dengan bacaan doa. Selepas sahaja bacaan doa, En. Mohamad Norman berkongsi sebuah artikel mengenai memohon maaf untuk dikongsi bersama. Berikut adalah artikel yang dikongsi:
Memohon maaf
Syukur Alhamdulillah, sudah seminggu kita berpuasa. Amalan memohon maaf merupakan amalan yang terpuji namun amalan ini bukanlah hanya perlu dilakukan sekadar setahun sekali iaitu pada hari raya, bersalam-salaman dan sekadar mengucap “Saya minta maaf.” Ya, Aidilfitri yang akan menjelang 3 minggu lagi boleh dijadikan sebagai platform untuk kita saling bermaafan, tetapi perlulah lebih ikhlas dalam mengharapkan kemaafan dan memaafkan insan lain bagi mendapatkan keredhaan Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya(ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.” (Riwayat Ibnu Abi Dunya)
Kenapa kita sering berasa sukar untuk memohon maaf? Mungkinkah kerana kita terlalu ego dan tidak mahu mengaku kalah? Kebanyakkan orang menganggap perlakuan memohon maaf akan menunjukkan kelemahan diri. Benarkah? Mampukah kita merobohkan ‘tembok’ yang meletakkan ego dan emosi pada kedudukan yang sangat tinggi sehingga kita alpa tentang ukhuwah yang pernah terbina sebelum ini?
Bagaimana pula jika kita tidak tahu akan kesilapan yang telah dilakukan? Atau mungkin juga kita yakin bahawa kita tidak bersalah, tapi perlukah kita memohon maaf? Mungkin senang untuk menjawab secara lisan, mungkin sukar bagi sebahagian masyarakat. Usahlah memohon maaf hanya semata-mata untuk menjernihkan suasana. Cuba tanamkan rasa bertanggungjawab untuk menjaga ukhuwah tersebut. Fikirkan bahawa memohon kemaafan itu sebagai komitmen untuk memperbaiki hubungan dan bukannya satu kelemahan diri.
Memang sukarkan untuk memohon maaf? Lebih-lebih jika kita sendiri tidak pasti apa kesalahan kita. Namun, jika kita sedar akan betapa mahalnya nilai sebuah ukhuwah, nescaya semua manusia di muka bumi ini akan hidup aman damai dan saling bermaaf-maafan.
Jika ada orang yang berbuat salah terhadap kita, alangkah baiknya jika kita dapat sucikan hati dan cuba memaafkan insan tersebut sempena Aidilfitri yang bakal menjelma nanti. Cuba lupakan kesilapan yang telah dilakukan oleh orang lain terhadap kita.  Bukankah lebih baik jika kita cuba memaafkan orang lain dan cuba selesaikan masalah yang telah berlaku daripada kita terus mengeruhkan keadaan?
Wasallam.
Perhimpunan kemudiannya di susuli dengan sesi pengumuman. Pengumuman pertama adalah mengenai pintu ISS yang tidak dikunci selepas waktu pejabat. Kakitangan adalah diingatkan untuk mengunci semua pintu dan tidak dibiarkan terbuka kerana ini akan menimbulkan masalah keselamatan. Pengumuman kedua adalah mengenai satu audit dalaman ISO akan diadakan pada 22-23 Julai 2013 nanti. Perhimpunan berakhir pada jam 8.15 am.

Khamis, Julai 04, 2013

Konvensyen "ICC - Team Excellence" peringkat Wilayah Tengah

Kumpulan Sinaran telah mewakili Jabatan Radiologi didalam Konvensyen "ICC - Team Excellence" peringkat Wilayah Tengah yang telah diadakan pada:

Tarikh: 2-3 Julai 2013
Tempat: Shah Alam Convention Center, Shah Alam, Selangor.

Tahniah diucapakan kepada kumpulan Sinaran kerana telah berjaya memperolehi Anugerah EMAS didalam pertandingan yang diadakan. Kumpulan Sinaran berpeluang untuk menyertai konvensyen di peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada  1-3 Oktober 2013 di Bukit Gambang Resort City, Kuantan, Pahang.


Isnin, Mei 27, 2013

Konvensyen KIK peringkat IPTA ke-9

Tahniah di ucapkan kepada Kumpulan Sinaran kerana telah berjaya mewakili UKM di dalam Konvensyen KIK peringkat IPTA ke-9.

Konvensyen telah diadakan pada:
Tarikh: 20-22 Mei 2013
Tempat: Universiti Utara Malaysia.

Kumpulan Sinaran (Jabatan Perkhidmatan Radiologi, PPUKM) telah membentangkan projek yang bertajuk Kadar kerisauan yang tinggi semasa pemeriksaan MRI di Jabatan Radiologi. Kumpulan telah berjaya memenangi pingat perak dalam konvensyen yang diadakan ini. Bertemu lagi di konvensyen akan datang.



Ahad, Mei 19, 2013

Lawatan ke Pusat Perubatan Sime Darby, Ara Damansara

Unit EIR Jabatan Radiologi telah membuat acara lawatan ke Pusat Perubatan Sime Darby, Ara Damansara. Lawatan telah diadakan pada:

Tarikh: 18 Mei 2013
Masa: 9.00am - 12.00pm
Tempat: Pusat Perubatan Sime Darby, Ara Damansara. 

Seramai 32 orang telah bersama-sama melawat ke Pusat Perubatan Sime Darby, Ara Damansara ini. Pusat Perubatan ini menawarkan pelbagai fasiliti tercanggih dan susun atur bilik yang menarik. Semua peserta amat berpuas hati dengan lawatan yang telah disertai.


Rabu, Mei 15, 2013

Audit 5S Pusat Perubatan UKM

Audit 5S Pusat Perubatan UKM telah berlangsung pada:

Tarikh: 14 Mei 2013
Hari: Selasa
Masa: 9.00 pagi - 5.00 petang

Audit 5S ini dijalankan oleh MPC (Malaysian Productivity Corporation). Jabatan Radiologi telah menjadi salah satu daripada jabatan yang telah tersenarai untuk diaudit pada kali ini. Juru audit dari MPC telah di bawa untuk melawat ke Zon Gamma dan Zon Ultra didalam audit yang dijalankan pada kali ini.

Dari dari audit yang dijalankan, juru audit dari MPC telah berpuas hati dengan kebersihan, kekemasan, susun atur, keseragaman dan amalan 5s yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Radiologi. Malah ada juga idea-idea menarik dari kawasan yang dilawati boleh dicontohi dan diamalkan oleh kumpulan 5s yang lain. Secara keseluruhannya, audit yang dijalankan pada kali ini telah berjaya dan persijilan 5s bagi Pusat Perubatan UKM telah dilanjutkan lagi untuk 1 tahun lagi. Tahniah diucapkan kepada semua yang berusaha bagi menjayakan program 5s ini.


Sabtu, Mei 11, 2013

Gotong royong perdana Jabatan Radiologi 2013

Gotong royong perdana Jabatan Radiologi telah diadakan pada

Tarikh: 11 May 2013
Hari: Sabtu
Masa: 8.30 pagi -12.30 tengahari

Gotong royong di adakan bersempena persediaan audit 5S yang akan diadakan pada 14 Mei 2013. Semua kakitangan telah memberikan kerjasama didalam gotong-royong yang diadakan. Semoga aktiviti seumpama ini akan dapat dianjurkan lagi dan mendapat kerjasama yang mampan dari semua kakitangan. Minum pagi dan makan tengahari telah ditaja oleh Pn. Farizwana Mohd Ridzuan kerana beliau telah berjaya mendapat jawatan tetap di Jabatan Radiologi. Tahniah juga kepada semua dan Pn. Farizwana Mohd Ridzuan (Pegawai Penyelidik Jabatan Radiologi).


 

Rabu, Mei 08, 2013

Perhimpunan pagi 8 Mei 2013

Perhimpunan pada kali ini di kendalikan oleh En. Mohamad Norman. Seperti biasa perhimpunan pagi dimulakan dengan bacaan doa. Selepas sahaja bacaan doa, En. Mohamad Norman berkongsi sebuah artikel mengenai bahaya fitnah untuk dikongsi bersama. Berikut adalah artikel yang dikongsi:
Bahaya Fitnah
Penyebaran fitnah mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kemudahan SMS, laman web dan emel membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas dan murah. Teknologi yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah. Penyebaran fitnah melalui SMS yang berleluasa memaksa kerajaan menetapkan peraturan semua pemilik kad prabayar didaftarkan.
Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.
Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.
Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar. Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.
Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu. Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama.
Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu. Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah. Ubat bagi penyakit hati ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir.
Fikir-fikirkanlah, sebelum menghantar e-mel atau SMS. Jika masyarakat Islam sendiri boleh berperang sesama sendiri kerana fitnah, apatah lagi masyarakat majmuk? Jika benar sekalipun beberapa berita, tetapi jika menyebarnya tanpa konteks ia seolah-olah menyiram minyak di atas bara api.
Selepas En. Mohamad Norman berkongsi artikel tersebut. Sesi untuk membuat pengumuman di buka. Pengumunan hari ini adalah mengenai Gotong Royong Perdana yang akan dijalankan pada 11 Mei ini oleh Pn. S. Elavarasi. Gotong royong ini wajib untuk dihadiri oleh semua kakitangan Jabatan Radiologi. Semua kakitangan di kehendaki bekerjasama didalam menjayakan aktiviti ini kerana pada minggu hadapan, satu audit 5S akan dijalankan. Zon Gamma dan Zon Alfa telah disenaraikan untuk diaudit oleh Jawatankuasa 5S Pusat PPUKM.