AKTIVITI AKAN DATANG...

...TBA...

Rabu, Mei 08, 2013

Perhimpunan pagi 8 Mei 2013

Perhimpunan pada kali ini di kendalikan oleh En. Mohamad Norman. Seperti biasa perhimpunan pagi dimulakan dengan bacaan doa. Selepas sahaja bacaan doa, En. Mohamad Norman berkongsi sebuah artikel mengenai bahaya fitnah untuk dikongsi bersama. Berikut adalah artikel yang dikongsi:
Bahaya Fitnah
Penyebaran fitnah mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kemudahan SMS, laman web dan emel membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas dan murah. Teknologi yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah. Penyebaran fitnah melalui SMS yang berleluasa memaksa kerajaan menetapkan peraturan semua pemilik kad prabayar didaftarkan.
Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.
Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.
Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar. Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.
Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu. Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama.
Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu. Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah. Ubat bagi penyakit hati ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir.
Fikir-fikirkanlah, sebelum menghantar e-mel atau SMS. Jika masyarakat Islam sendiri boleh berperang sesama sendiri kerana fitnah, apatah lagi masyarakat majmuk? Jika benar sekalipun beberapa berita, tetapi jika menyebarnya tanpa konteks ia seolah-olah menyiram minyak di atas bara api.
Selepas En. Mohamad Norman berkongsi artikel tersebut. Sesi untuk membuat pengumuman di buka. Pengumunan hari ini adalah mengenai Gotong Royong Perdana yang akan dijalankan pada 11 Mei ini oleh Pn. S. Elavarasi. Gotong royong ini wajib untuk dihadiri oleh semua kakitangan Jabatan Radiologi. Semua kakitangan di kehendaki bekerjasama didalam menjayakan aktiviti ini kerana pada minggu hadapan, satu audit 5S akan dijalankan. Zon Gamma dan Zon Alfa telah disenaraikan untuk diaudit oleh Jawatankuasa 5S Pusat PPUKM. 

Tiada ulasan: