Perhimpunan Pagi 15 Januari 2014 adalah perhimpunan pagi yang kedua buat tahun ini. Perhimpunan pada kali ini dikendalikan oleh En. Mohamad Norman. Perhimpunan dimulakan dengan bacaan doa oleh En. Mohd Nizam.
En. Norman menceritakan tentang sebuah artikel mengenai hikmah yang tersirat dan tersurat dalam kita merayakan sambutan Maulidur Rasul
1. Nilai-Nilai Murni
Keunikan bangsa Arab dapat dilihat daripada sikap mereka yang amat menyanjungi karya-karya sastera khususnya syair-syair. Daya ingatan mereka yang kuat dalam menghafal syair-syair Arab serta mengingati susur galur keturunan dalam kabilah adalah kelebihan yang dimiliki. Tambahan lagi keberanian mereka telah terbukti melalui persengketaan antara kabilah sehingga membawa kepada peperangan dan pertumpahan darah.
Sehinggalah kehadiran Rasulullah S.A.W dengan risalah Islam, nilai-nilai keberanian serta kekuatan mengingat ini diangkat menjadi salah satu sifat yang mulia dan dibersihkan daripada kekotoran kepada kemurnian dan kesucian jiwa. Jiwa-jiwa mereka telah disatukan malah gambaran kehidupan jahiliyah turut dikhabarkan oleh Allah S.W.T dengan firmanNya.
Keberanian mereka disalurkan kepada jalan yang lebih baik iaitu dengan tertegaknya konsep jihad, iaitu mencurahkan daya dan tenaga kekuatan dalam usaha mencapai suatu matlamat atau cita-cita mulia dan ideal, iaitu matlamat dan cita-cita Islam serta mendapat keampunan Allah S.W.T, keredaan dan rahmat-Nya dengan mencakupi suatu usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai satu-satu tujuan yang diingini atau mempertahankan sesuatu yang tidak diingini dengan pelbagai cara sama ada alat, ilmu pengetahuan dan sebagainya.
Jika dahulu mereka berperang kerana ingin mempertahankan kabilah, sebaliknya konsep peperangan yang dididik oleh baginda telah diikuti oleh mereka untuk mempertahankan ajaran Islam daripada dicerobohi serta memastikan keamanan dan keadilan ditegakkan. Sejarah Islam mencatatkan ketika peperangan Yamamah. Tentera-tentera Islam yang ikut serta dalam peperangan ini, kebanyakan terdiri daripada para sahabat dan para panghafal al-Quran. Dalam peperangan ini telah gugur 70 orang penghafal al-Quran.
Bahkan sebelum itu gugur hampir sebanyak itu juga penghafal al-Quran di mana Nabi pada suatu pertempuran di Bir Maunah berhampiran kota Madinah. Ini membuktikan kejayaan Rasulullah mengalihkan pandangan dan jiwa mereka kepada mempertahankan sesuatu yang hak dan menolak kebatilan. Malah, bangsa yang dahulunya tidak mendapat tempat dalam usaha peluasan empayar Persia dan Rom memberi kejutan yang besar dan menggugat golongan raja-raja dan pemerintah yang zalim terhadap rakyatnya ketika itu. Ini diakui oleh Maharaja Heracilus apabila menerima sepucuk surat dari Rasulullah agar beliau adil terhadap rakyat dan menerima Islam sebagai cara hidupnya
2. Kesucian Bumi Mekah
Kelahiran Rasulullah di bumi Mekah adalah satu nikmat dan rahmat Allah s.w.t. dalam menyucikan Kaabah daripada amalan penyembahan berhala. Kaabah yang terletak di tengah-tengah garis bumi seolah-olah seperti sebatang lilin yang diletakkan di tengah-tengah bilik dan cahayanya menerangi segenap penjuru bilik tersebut. Perpaduan begitulah diibaratkan kepada Rasulullah S.A.W, baginda adalah cahaya kebenaran yang menerangi segenap penjuru alam ini dengan kebenaran Islam melalui bimbingan al-Quran dan sunah dan meletakkan Kaabah kembali sebagai titik perpaduan umat untuk menyembah Allah yang satu.
3. Nabi Akhir Zaman
Allah S.W.T telah mengkhabarkan kepada para Nabi sebelumnya tentang kehadiran Nabi terakhir yang akan membawa mesej Islam kembali untuk umat akhir zaman. Nabi Musa dan Nabi Isa A.S adalah di antara nabi-nabi ulul azmi yang telah diberikan pengkhabaran tersebut.
4. Doa Nabi Ibrahim A.S
Hikmah dan rahsia di sebalik kelahiran Rasulullah di bumi Mekah juga adalah kerana makbulnya doa Nabi Ibrahim A.S yang memohon agar keturunannya turut diberikan kepada mereka golongan nabi dan rasul. Permintaan ini telah dipenuhi-Nya dengan kelahiran nabi dari keturunan Ismail A.S.
Kesimpulan
Nabi Muhammad S.A.W telah disenaraikan sebagai tokoh paling berpengaruh dalam dunia di dalam buku "The Hundred"
Kelahiran dan kewafatan Rasulullah telah memberi kesan yang sangat besar ke atas perkembangan Islam. Baik Muslim dan bukan Islam turut mengakui ketokohan baginda dalam membimbing kehidupan manusia sebagaimana disebutkan oleh tokoh Barat Micheal H. Hart di dalam bukunya, “The Hundred” di mana Nabi Muhammad S.A.W disenaraikan di tempat PERTAMA tokoh yang paling berpengaruh di dunia seperti catatan berikut:
“Pemilihan Muhammad sebagai tokoh yang paling berpengaruh di dunia mungkin akan mengejutkan para pembaca dan turut akan dipersoalkan, tetapi hanya beliau individu paling berpengaruh di dalam sejarah di kedua-dua bidang keagamaan dan duniawi. Kini selepas empat belas kurun, pengaruhnya masih dapat dirasai. “
(The Hundred, New York: Hart Publishing Company, Inc., 1978, halaman 33.)
Malah pengkritik Islam, George Bernand Shaw mengatakan: “Saya telah mengkaji beliau, seorang tokoh yang hebat. Jauh sekali untuk mengatakan beliau seorang anti-Christ tetapi layak dipanggil penyelamat kemanusiaan (The Genuine of Islam). Sudah masa untuk kita berfikir sejenak, siapakah individu unggul sebagai ikutan dan contoh kehidupan. Beliau dikagumi oleh lawan dan dicintai oleh para sahabat. Kelahiran Rasulullah di bulan Rabiul Awal adalah MESEJ yang perlu diingati tidak sekadar sebagai bahan sejarah tetapi menjadi ikutan buat setiap insan.
“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”
(Surah al-Qalam : Ayat 4)
Perhimpunan disusuli dengan pengumuman dari En. Nizam yang memaklumkan bahawa penyertaan untuk konvoi ke Melaka sudah ditutup setelah mencapai penyertaan sebanyak 25 orang. Mesyuarat dan taklimat mengenainya akan diadakan pada hari khamis (16/1/2014) ini.
En. Hairul Faizal membuat pengumuman mengenai kewajipan semua kakitangan untuk membuat pemeriksaan kesihatan dibawah akta pekerja sinaran bagi kakitangan baru perlu dilakukan. Pemeriksaan akan dijalankan pada tahun 2014 ini.
Perhimpunan disudahi dengan ucapan terima kasih oleh En. Norman.